INDEKS Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia susut 0.3% pada Ogos 2023 berbanding angka pada bulan yang sama tahun lepas berikutan penurunan industri pembuatan berorientasikan eksport manakala industri berorientasikan domestik terus berkembang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Julai 2023 mencatatkan positif 0.7%.
“Penurunan itu disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pembuatan dengan negatif 0.6% berbanding negatif 0.2% yang dicatatkan pada Julai 2023.
“Sebaliknya, sektor perlombongan tumbuh marginal 0.1% manakala sektor elektrik berkembang 1.9%,” katanya dalam kenyataan mengenai IPP Malaysia Ogos 2023 yang dikeluarkan DOSM pada Khamis.
Beliau berkata IPP pada Ogos 2023 meningkat 2.8% berbanding pertumbuhan negatif 1.8% yang direkodkan pada Julai 2023.
Kemerosotan pengeluaran pembuatan dipengaruhi terutama oleh penyusutan berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang susut 2.6% pada Ogos 2023 (Julai 2023: -2.7%), katanya.
Beliau berkata ini disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-7.5%); serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-3.8%).
Penyusutan itu turut digambarkan melalui prestasi eksport negara yang mengalami trend penurunan sejak Mac 2023 dan merekodkan kemerosotan 18.6% pada Ogos 2023, katanya.
Mohd Uzir berkata namun begitu, industri berorientasikan domestik terus berkembang walaupun pada kadar sederhana iaitu 4.2% berbanding 6.0% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Peningkatan tersebut diterajui oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (7.2%); serta pembuatan produk prosesan makanan (5.7%).
Beliau berkata pengeluaran sektor pembuatan Ogos 2023 pulih kepada 5.1% berbanding negatif 4.3% yang dicatatkan pada Julai 2023.
Pengeluaran sektor perlombongan tumbuh marginal sebanyak 0.1% pada Ogos 2023 berbanding 4.2% yang direkodkan pada Julai 2023, dipacu oleh momentum peningkatan dalam pengeluaran gas asli, manakala pengeluaran minyak mentah dan kondensat menyusut.
Ketua Perangkawan berkata prestasi IPP bagi lapan bulan pertama 2023, IPP meningkat pada kadar yang perlahan sebanyak 1.0% berbanding tempoh yang sama 2022 iaitu 7.3%.
“Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks pembuatan (1.2%); indeks perlombongan (0.2%); dan indeks elektrik (1.6%),” katanya. – Bernama, 12 Oktober, 2023.
Komen