Ahli Parlimen Pendang diarah keluar dewan 


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim diarah keluar daripada dewan kerana gagal menarik balik kenyataannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Pendang Awang Hashim diarah keluar daripada dewan kerana gagal menarik balik kenyataannya speaker Johari Abdul menunjukkan sikap pilih kasih terhadap anaknya Taufiq Johari (Sungai Petani-PH) apabila memberi keutamaan kepada usul tergempar.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu telah mencadangkan ini dan malah berkata Taufiq akan masuk ke dewan kerana dia adalah anak papa’ (anak bapa).

Kenyataan itu diucapkan ketika Shahidan Kassim (Arau-PN) menyoal timbalan speaker Alice Lau mengapa usulnya yang dikemukakan kepada Johari pada Selasa masih menunggu keputusan manakala usul Taufiq yang dikemukakan semalam telah diluluskan hari ini.

Kenyataan itu jelas tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan penyokong kerajaan, dengan RSN Rayer (Jelutong-PH), P Prabakaran (Batu-PH), R Yuneswaran (Segamat-PH) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat-PH) menggesa timbalan speaker untuk mengarahkan Awang menarik balik kenyataannya.

Lau kemudian mengarahkan Awang, bekas timbalan menteri sumber manusia, untuk menarik balik kenyataannya tetapi beliau enggan berbuat demikian.

“Memandangkan dia enggan (menarik balik kenyataan itu), saya persilakan Pendang untuk ‘berehat’ sehingga selepas makan tengah hari,” arah Lau.

Lau berkata, kenyataan Awang itu dibuat dengan niat jahat terhadap Taufiq.

Terdahulu, Lau berkata speaker Johari telah meluluskan usul Taufiq berhubung isu kilang beras di Kedah yang disita kerana disyaki menyembunyikan 180 tan beras putih tempatan untuk dibahaskan di Parlimen. – 12 Oktober, 2023.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen