Pasukan petugas 1MDB terkejut tindakan Goldman Sachs saman kerajaan


Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB Johari Abdul Ghani berkata Malaysia bersedia untuk memberikan respon terhadap tindakan Goldman Sachs saman kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

JAWATANKUASA Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terkejut dengan tindakan Goldman Sachs untuk memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung isu penyelesaian 1MDB.

Pengerusinya, Johari Abdul Ghani berkata ini kerana kedua-dua pihak terbabit masih dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik.

“Susulan perkembangan terbaru itu, kerajaan Malaysia bersedia untuk memberikan respon terhadap perkara itu dan memastikan proses ini dilakukan dengan teliti dan mengikut rangka kerja undang-undang yang ditetapkan dan memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan Goldman Sachs itu adalah cubaan untuk mengalih perhatian daripada arahan dikenakan terhadap bank berkenaan untuk membayar AS$250 juta sebagai syarat dalam perjanjian penyelesaian.

Bloomberg pagi ini melaporkan Goldman Sachs Group Inc menyaman Malaysia di mahkamah United Kingdom ketika berlaku percanggahan mengenai penyelesaian yang dikaitkan dengan peranannya dalam skandal dana pelaburan 1MDB.

“Kami memfailkan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia kerana melanggar kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami dan untuk mendapatkan semula aset lain,” laporan itu memetik seorang jurucakap bank yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat. – 12 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen