KAJIAN awal sampel asteroid Bennu berusia 4.5 bilion tahun yang dikumpulkan di angkasa dan dibawa ke bumi oleh NASA menunjukkan kandungan karbon yang tinggi dan air, menurut Aeronautik Kebangsaan AS dan Pentadbiran Angkasa Lepas (NASA).
Kedua-dua unsur itu bersama-sama boleh menunjukkan bahawa bahan asas kehidupan di Bumi mungkin terdapat dalam batuan ini, menurut NASA.
Kapal angkasa OSIRIS-REx NASA, iaitu misi pertama AS yang mengumpulkan sampel daripada asteroid, kembali dengan sampel asteroid Bennu ke Bumi pada 24 September, lapor Xinhua.
“Sampel OSIRIS-REx ialah sampel asteroid berkarbon terbesar yang pernah dihantar ke Bumi dan akan membantu saintis menyiasat asal-usul kehidupan di planet kita sendiri untuk generasi akan datang,” kata Pentadbir NASA Bill Nelson.
“Hampir semua yang kami lakukan di NASA bertujuan untuk menjawab soalan tentang siapa kita dan dari mana kita berasal. Misi NASA seperti OSIRIS-REx akan meningkatkan pemahaman kita tentang asteroid yang boleh mengancam Bumi sambil memberi kita gambaran tentang apa yang ada di luar.
“Sampel itu berada di Bumi, tetapi masih banyak lagi ilmu sains untuk diteroka yang tidak pernah kita lihat sebelum ini,” katanya. – Bernama, 12 Oktober, 2023.
Komen