Juruaudit rugi RM1.48 juta akibat pelaburan tidak wujud


Seorang wanita berusia 43 tahun itu tertipu apabila tertarik untuk menyertai pelaburan berpangkalan di New York, Amerika Syarikat berkenaan selepas melihat iklan menerusi Facebook pada 2 Mei lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober 2023.

SEORANG juruaudit sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap mendakwa kerugian RM1.48 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Ng Ah Thiam berkata wanita berusia 43 tahun itu tertarik untuk menyertai pelaburan berpangkalan di New York, Amerika Syarikat berkenaan selepas melihat iklan menerusi Facebook pada 2 Mei lepas.

Beliau berkata mangsa kemudian mengikuti pautan iklan tersebut dan seterusnya diberikan penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

“Mangsa yang berminat menyertai pelaburan terbabit melakukan transaksi pembayaran berjumlah RM1.48 juta ke dalam beberapa akaun yang diberikan sindiket.

“Selepas wang dimasukkan mangsa tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan malah dipaksa menambah pelaburan lagi kononnya bagi membolehkan pengeluaran wang dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Ng berkata wanita itu menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis pada Isnin lepas.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru Ng menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi media sosial. – Bernama, 12 Oktober 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen