Pegawai penyiasat kes 1MDB Najib dijangka beri keterangan esok


Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2023.

PEGAWAI penyiasat bagi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan memanggil saksi baharu setelah peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak boleh hadir untuk prosiding pagi esok kerana mempunyai kes di Mahkamah Persekutuan.

Shafee sedang menyoal balas saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan yang akan kembali pada sebelah petang.

Difahamkan bahawa saksi seterusnya ialah ACP Foo Wei Min, yang merupakan ketua pasukan penyiasat jenayah antipengubahan wang haram Bukit Aman pada masa itu.

Foo adalah antara pegawai penyiasat yang melakukan serbuan di unit kondominium milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion, di sini, di mana barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan dirampas kerana dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dana 1MDB pada 17 Mei 2018.

Sementara itu, Adam Ariff dalam keterangannya menafikan bahawa beliau hanya mengambil dokumen tertentu dan memilih sumbernya semasa menjalankan analisis jejak wang 1MDB yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Shafee mengenai analisisnya berhubung fasa “Aabar-BVI” yang didakwa peguam itu bahawa beliau (Adam Ariff) sengaja meninggalkan bahagian AS$233 juta yang kononnya datang daripada penggunaan pinjaman AS$975 juta.

Adam Ariff tidak bersetuju dengan saranan Shafee bahawa beliau memilih jejak berkenaan setelah diarahkan supaya menganalisis dan mengesahkan apa yang telah dijalankan oleh penyiasat dalam pertuduhan terhadap Najib. 

Shafee: AS$233 juta di Aabar daripada penggunaan pinjaman AS$975 juta….pinjaman itu telah pun digunakan sepenuhnya. Jadi, bayaran daripada Aabar Seychelles bukan daripada pinjaman?

Adam Ariff: Saya tidak setuju.

Semasa prosiding sebelah pagi, Shafee mengulangi bahawa pembelaan Najib dalam kes itu ialah bekas perdana menteri menyangka wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah daripada Almarhum Raja Saudi.

Shafee: Kamu tahu, bekas gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini memberi keterangan bahawa BNM mengambil masa lebih tiga tahun untuk mengetahui sumber dana yang dikreditkan ke dalam akaun Najib. Kamu mengambil masa kira-kira dua tahun ....

Shafee: Oleh itu, adalah munasabah untuk Najib tidak mengetahui sumber wang itu kerana BNM pun tidak tahu sumbernya?

Adam Ariff: Saya tiada komen.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama, 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen