Cubaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP) untuk mendapatkan akses kepada tiga anak milik seorang wanita Hindu - yang memeluk Islam secara unilateral oleh bapa mereka - ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata keputusan dibuat selepas menemubual anak-anak itu, bulan lalu.
Menurut Hayatul, ketiga-tiga anak Loh Siew Hong itu tidak mahu dikekalkan dalam agama Islam sambil menambah mereka juga menolak MAIP diberi akses kepada mereka.
“Mereka terpisah daripada ibu mereka hampir tiga tahun. Mereka gembira sekarang dapat ke sekolah dan menjalani aktiviti kokurikulum.
“Mereka beritahu saya, mereka tidak mahu menjadi orang Islam ,” katanya ketika membuat ketetapan.
Keputusan itu sekali gus menolak MAIP daripada membantu anak-anak itu termasuk dalam memberi pendidikan Islam.
Setelah anak-anak itu mengalami pengalaman yang memberi kesan kepada hidup mereka, hakim berkata mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada keputusan yang dibuat oleh orang dewasa.
Sehubungan itu Hayatul berkata perselisihan yang berlarutan ini tidak perlu berlaku demi kepentingan kanak-kanak tersebut.
“Mereka tidak sepatutnya dipaksa undang-undang untuk buat apa yang mereka tidak mahu.
“Semua pihak perlu berhenti menafikan dan mencampuri apa saja yang ada sepanjang mereka membesar.
“Selepas menilai fakta dan hujah semua pihak, saya dapati tiada merit dalam permohonan MAIP,” katanya.
Penguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdullah mewakili MAIP sementaara J. Gunamalar mewakili Loh.
Pada 21 Februari tahun lalu, tiga beradik berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Siew Hong apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.
MAIPs memfailkan permohonan untuk campur tangan pada 7 Mac tahun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa agama mempunyai locus standi untuk memohon mengubah syarat perintah tahanan yang diberikan kepada wanita tersebut.
Majlis ini memohon perintah variasi bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap tiga kanak-kanak itu antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari-hari kebesaran Islam di masjid berhampiran dengan rumah.
Perintah itu juga termasuk memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup kanak-kanak itu dari aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan. – 11 Oktober, 2023.
Komen