JEREBU yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini disebabkan oleh pergerakan angin dari luar yang membawa masuk udara tercemar ke negeri ini dan bukan oleh pembakaran terbuka, kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang Norazizi Adinan.
Beliau berkata faktor itu menjadi punca bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat dengan cepat berbanding bacaan harian sederhana yang disumbangkan oleh asap kenderaan dan kawasan perindustrian.
“Dua Stesen Pengawasan Kualiti Udara di Seberang Perai dan Seberang Jaya biasanya mencatatkan paras agak tinggi tetapi disebabkan kawasan perindustrian dan kenderaan yang melalui di Seberang Jaya setiap hari.
“Kawasan ini agak padat dengan pencemaran udara. Bagaimanapun ia berada di tahap sederhana berbanding kawasan lain di negeri ini yang menunjukkan bacaan lebih baik, lebih kurang 30-40.
“Sekiranya ada faktor luaran yang menambah kepada jerebu ini maka kita akan cepat sampai ke bacaan 100,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Larangan Pembakaran Terbuka JAS Pulau Pinang di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.
Norazizi berkata isu jerebu merupakan masalah rentas sempadan dan pihaknya tidak boleh menghalang udara tercemar daripada memasuki negeri ini, namun, langkah kawalan secara dalaman boleh diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.
Katanya, setakat ini tiada titik panas pembakaran terbuka direkodkan di negeri ini kecuali satu amaran palsu membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak yang dikesan menerusi satelit.
Dalam pada itu, Norazizi berkata dari Januari hingga semalam, sebanyak 376 aduan pembakaran terbuka diterima pihaknya dengan sebahagian besar membabitkan kawasan kejiranan, bukan pertanian.
“Justeru, kita minta penduduk di negeri ini supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.
“Kita juga berharap penduduk dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan yang memantau supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk,” katanya.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) JAS, dua kawasan di Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU yang baik iaitu di Minden (49) dan Balik Pulau (48) manakala dua lagi kawasan mencatatkan IPU sederhana iaitu Seberang Perai (55) dan Seberang Jaya (55) setakat 2 petang hari ini. – Bernama, 11 Oktober, 2023.
Komen