KERAJAAN Jepun pada Rabu merancang meningkatkan penebangan pokok cedar dan cypress kerana debunga pokok itu dikatakan mencetuskan demam hay yang menyebabkan alahan kepada berjuta-juta penduduk.
Pada peringkat awal kerajaan akan menumpukan di kawasan di bandar utama seperti Tokyo dan Osaka, dengan mengurangkan 70,000 hektar kawasan hutan yang dipenuhi dengan pokok berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang, memetik mesyuarat peringkat kementerian pada Rabu.
Mesyuarat itu turut meluluskan inisiatif untuk memperkenal mesin yang boleh menebang pokok dengan lebih cekap, menambah baik kemudahan pengedaran kayu cedar dan mewujudkan sistem untuk mengeluarkan data mengenai penggunaan kayu domestik dalam kalangan pemaju rumah berasaskan kayu dalam tahun fiskal 2023, lapor Xinhua.
Mengenai penggunaan ubat imunoterapi untuk mengurangkan gejala alahan, kerajaan akan berusaha mendapatkan bahan mentah dan membantu meningkatkan pengeluarannya bagi memastikan bekalan mencukupi.
Pada Mei, kerajaan mengumumkan langkah-langkah menangani demam hay, termasuk mengurangkan jumlah kawasan yang dilitupi dengan pokok cedar sebanyak 20 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Dalam kebanyakan kes demam hay, yang dirujuk sebagai “kafunsho” di Jepun, kes alahan debunga cedar merupakan kebimbangan bermusim.
Pokok cedar, terutamanya Cryptomeria japonica, mengeluarkan debunga yang banyak pada musim bunga yang membawa kepada reaksi alahan dan masalah pernafasan. – Bernama, 11 Oktober, 2023.
Komen