#UndiRabu kutip RM140k bantu rakyat pulang mengundi


The Malaysian Insight

INISIATIF kutipan dana orang ramai #UndiRabu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM140,000 bagi membantu pengundi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing pada 9 Mei akan datang.

Inisiatif tersebut, yang dicetuskan sekumpulan anak muda, menerima 1,900 permohonan sejak ia dilancarkan pada 10 April lepas, hari sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada pertengahan minggu, iaitu hari Rabu.

Salah seorang pengasasnya, Joey Mashar, memaklumkan yang mereka kini dalam fasa mengagihkan dana tersebut.

“50% dana tersebut digunakan untuk mensubsidi mereka yang pulang ke Malaysia Timur, sementara bakinya digunakan untuk mensubsidi mereka yang akan pulang mengundi di Semenanjung,” kata Mashar.

Mereka yang memohon bantuan tersebut akan menerima RM200 bagi perjalanan ke Malaysia Timur, RM100 untuk tiket penerbangan dalam Semenanjung Malaysia, dan RM50 bagi semua pengangkutan darat.

“Kami akan mengagihkan kesemua wang tersebut sebelum pilihan raya. Kami mahukan ketelusan dan tadbir urus baik, semua wang yang telah dikumpulkan akan dikembalikan semula kepada rakyat.

“Kami mulakan ia secara one-off, ad-hoc dan akan berakhir selepas pilihan raya tamat.”

Sehingga kini, daripada jumlah permohonan yang diterima, 818 daripada mereka telah menerima subsidi.

“Derma yang kami terima, tidak kira kecil atau besar, datangnya daripada individu yang ikhlas mahu membantu. Ia melibatkan kepercayaan, dan ada antara penyumbang yang mahu namanya dirahsiakan.”

Kumpulan itu menjelaskan yang ia tiada kaitan dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik.

“Kami tak berpihak. Subsidi perjalanan yang diberikan tidak berniat untuk memberi kesan kepada siapa yang mereka mahu undi. Kami mahu rakyat menggunakan hak Perlembagaan mereka, khususnya bagi pengundi kali pertama dan pelajar.”

Kumpulan berkenaan bekerja menerusi Twitter dan menyediakan perkembangan dari masa ke semasa. Ia menutup permohonan pada 20 April lepas bagi menumpukan proses pengagihan dana tersebut. – 29 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen