Keterangan saksi berdasarkan jejak wang dalam penyata bank Najib, kata pendakwaan


Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2023.

PENDAKWAAN kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) berkata keterangan penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai aliran wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah berdasarkan data dalam penyata bank Najib Razak dan dokumentasi lain.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendakwaan tidak pernah memanggil Adam Ariff Mohd Roslan, 29, yang juga saksi ke-47, untuk memberi keterangan sebagai saksi pakar.

“Beliau adalah saksi fakta. Kegagalan untuk menyoal balas adalah sama dengan menerima fakta yang dinyatakan oleh beliau. Ia adalah semudah itu,” katanya.

Ahmad Akram berkata demikian selepas perkara itu dibangkitkan oleh peguam utama Najib iaitu Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan mahkamah bahawa Adam Ariff bukan seorang saksi pakar, justeru keterangannya adalah tidak relevan.

Terdahulu, saksi itu mengesahkan bahawa beliau bukan hadir sebagai saksi pakar sebaliknya memberi keterangan sebagai penganalisis dalam pasukan petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes 1MDB.

Pada peringkat ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah mencelah bahawa isu mengenai Akta Keterangan boleh dibangkitkan di akhir kes pendakwaan semasa hujahan.

Semasa pemeriksaan balas, saksi itu berpegang kepada laporan beliau mengenai jejak wang meskipun Shafee berhujah bahawa Adam Ariff tidak memiliki dokumen yang mencukupi untuk merumuskan bahawa sejumlah AS$20,000,000 telah dikreditkan ke dalam akaun Najib di Ambank.

Kepada soalan lain, Adam Ariff mengesahkan bahawa SPRM tidak memberikan sebarang dokumen berkaitan Bank Riyad di bawah nama ‘Yang Teramat Mulia Putera Faisal bin Turki Al-Saud/YTM Putera Saud bin Abdulaziz Al-Saud’.

Akaun Bank Riyad telah memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas Good Star, entiti milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho memindahkan dana kepada akaun Putera Faisal.

Menerusi laporan jejak wangnya bagi fasa Good Star, Adam Ariff berkata sejumlah AS$20,000,000 telah dikreditkan ke akaun Najib dalam dua transaksi daripada akaun Good Star di Bank Riyad iaitu pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Shafee: Oleh yang demikian, anda tidak boleh merumuskan secara saintifik bahawa wang berjumlah AS$10 juta pada kedua-dua tarikh adalah berasal daripada Good Star.

Adam Ariff: Secara saintifik, tidak.

Shafee: Jadi ia adalah pendapat yang berasaskan kepada tekaan bijak?

Adam Ariff: Saya tidak setuju. Saya tidak mempunyai bukti pada akaun bank itu tetapi saya mempunyai bukti sebelum dan selepas pindahan wang dilakukan dan berpendapat bahawa sebagai seorang penganalisis, bukti itu sudah mencukupi.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen