Singapura berminat pelajari BIM, IBS Malaysia melalui CIDB, kata menteri


Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata Singapura menyatakan minat mempelajari insiatif BIM dan IBS melalui CIDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2023.

SINGAPURA menyatakan minat untuk mempelajari inisiatif Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Industri Bangunan (IBS) Malaysia melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata ia termasuk kepakaran dan pengadaptasian kedua-dua modul tersebut dalam pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS).

Nanta berkata minat itu dinyatakan Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Singapura Desmond Lee kepadanya ketika pemimpin negara itu melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

“Minat ini adalah selaras dengan usaha perancangan bandar Singapura yang menyokong prinsip reka bentuk hijau dan teknologi pintar.

“Dalam hal ini, saya menyambut baik hasrat tersebut dan percaya satu jalinan kerjasama strategik boleh dilaksanakan dalam masa terdekat untuk kedua-dua negara saling mempelajari dan berkongsi kepakaran bagi mencapai kebaikan bersama,” katanya.

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Hasnol Zam Zam dan Ketua Eksekutif CIDB Mohd Zaid Zakaria. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen