Geran pembangunan program PKS perlu dipantau, kata laporan ketua audit


Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 pemantauan prestasi perbelanjaan program hendaklah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2023.

TIGA kementerian perlu memantau prestasi perbelanjaan geran pembangunan yang diterima untuk pelaksanaan program SME Investment Partner (SIP) dan program Going Export (GoEx) bagi memastikan ia dibelanjakan sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 pemantauan prestasi perbelanjaan program hendaklah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

“Sekiranya geran tidak dibelanjakan sepenuhnya, baki geran perlulah dipulangkan dengan segera supaya dapat digunakan untuk program pembangunan yang lain,” menurut LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Hal ini kerana berdasarkan audit yang dijalankan di Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) pada Disember 2022 hingga Februari 2023, meliputi perbelanjaan pembangunan bagi dua program di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu bagi tempoh tujuh tahun mendapati terdapat sejumlah wang yang tidak dibelanjakan.

“Semakan audit mendapati mulai 2014 hingga 2022, SME Corp menerima geran pembangunan berjumlah RM59.52 juta untuk program SIP dan GoEx, bagaimanapun setakat hujung 2022 hanya RM27.91 juta atau 46.9 peratus dibelanjakan dan geran masih berbaki RM31.62 juta,” menurut laporan itu.

LKAN memaklumkan pelaksanaan program yang lemah mengakibatkan hanya RM27.91 juta daripada jumlah geran pembangunan itu berjaya dibelanjakan dalam tempoh yang ditetapkan manakala RM14.88 juta dibelanjakan bagi program lain.

“Secara keseluruhannya, RM42.79 juta (71.9 peratus) peruntukan yang diterima dibelanjakan dan memberi manfaat kepada PKS, bagaimanapun baki geran pembangunan berjumlah RM16.73 juta (28.1 peratus) yang tidak dibelanjakan merupakan kos melepas kepada PKS dan kerajaan kerana peruntukan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” menurut laporan itu.

Justeru LKAN menyarankan agar SME Corp merancang dengan teliti dan mengambil kira semua keperluan PKS sebelum memohon peruntukan dana daripada kementerian bagi menjalankan program.

Program SIP bertujuan memudahkan akses pembiayaan kepada PKS, manakala program GoEx ialah bantuan kewangan berbentuk geran yang diberikan kepada PKS untuk menembusi pasaran luar negara bagi tujuan pengeksportan barang dan perkhidmatan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen