Kes konjunktivitis, jangkitan saluran pernafasan dan asma meningkat di Johor


Orang ramai disaran ambil berat faktor kesihatan kerana Jabatan Alam Sekitar menjangkakan keadaan jerebu akan menjadi semakin teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2023.

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merekodkan peningkatan penyakit mata (konjunktivitis), jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma, susulan jerebu di beberapa kawasan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata konjunktivitis meningkat kepada 45 kes bersamaan 74% daripada 26 kes berbanding sebelum berlaku jerebu.

“Bagi URTI pula sebanyak 1,528 kes iaitu peningkatan sebanyak 30.1% berbanding 1,174, manakala asma, sebelum jerebu sebanyak 52 kes dan kini meningkat kepada 82 kes atau naik 57%,” katanya pada sidang media di Johor Baru, hari ini.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil berat faktor kesihatan kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan jerebu akan menjadi semakin teruk.

“Semua diingatkan agar tidak melakukan aktiviti terbuka, sebaliknya minumlah air masak dengan banyak serta memakai pelitup muka jika ada masalah kesihatan,” katanya sambil menambah pihak agensi kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan berpengalaman dalam menguruskan jerebu.

Menurut aplikasi MyIPU setakat 4 petang tadi, Larkin merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 dan Batu Pahat (159) iaitu paras tidak sihat. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen