POLIS Pahang merakamkan percakapan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor, difahamkan berhubung kenyataan yang dibuat semasa sesi ceramah pada 22 September lepas, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata keterangan Sanusi direkodkan di Balai Polis Manchis, Bentong pada 7 Oktober lepas, susulan terdapat dua laporan dibuat terhadap beliau.
“Keseluruhannya, kita sudah mengambil keterangan lima individu dan siasatan lanjut masih dijalankan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.
Beliau berkata siasatan terhadap Sanusi dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata laporan bedah siasat terhadap pendaki warga India Nandan Suresh Nadkarni, 44, yang ditemukan maut selepas mendaki Gunung Jasar di Cameron Highlands sebelum ini, mengesahkan mangsa mengalami hipotermia.
“Urusan berkaitan penyerahan jasad mangsa kepada wakil waris dilakukan oleh polis kontinjen Perak selepas bedah siasat di hospital di Ipoh selesai pada 1 Oktober lepas,” katanya.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang sejak 22 September semasa melakukan aktiviti mendaki di Trail 10 Gunung Jasar seorang diri, dipercayai tersasar dari laluan asal semasa turun dari puncak bukit sehingga tersesat melepasi sempadan Perak. – Bernama, 10 Oktober, 2023.
Komen