Jais seru masjid, surau anjur solat hajat, qunut nazilah selamatkan Palestin


Bangunan di Gaza musnah selepas serangan udara dilancarkan tentera Israel. Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel bermula sejak 7 Oktober. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2023.

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) menyeru semua masjid dan surau di Selangor bersolidariti dengan melaksanakan solat hajat selepas solat fardu maghrib atau isyak serta bacaan qunut nazilah serta-merta, selama tujuh hari berturut-turut bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata seruan itu dibuat bagi mengharapkan bantuan daripada Allah agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dan keyakinan untuk terus mempertahankan kedaulatan tanah suci Baitulmuqaddis daripada cengkaman imperialisme.

“Jais mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Jais menyokong penuh apa juga tindakan rakyat Palestin dalam mempertahankan maruah dan tanah air Baitul Aqsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Semoga kemenangan dan keamanan buat rakyat Palestin akan tercapai dengan doa seluruh umat Islam lalu memperoleh bantuan daripada Allah,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen