WHITE House memaklumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden disoal siasat bagi membantu siasatan berhubung pengendalian dokumen sulit yang ditemui di rumahnya dan bekas pejabat peribadinya.
Kekecohan isu dokumen rahsia sejak Biden menggalas jawatan naib presiden itu menyebabkan peguam negara AS melantik seorang pendakwa bebas untuk menjalankan siasatan pada Januari.
“Temubual bersama presiden itu sebagai sebahagian daripada siasatan diketuai Peguam Khas Robert Hur,” kata White House dalam satu kenyataan.
Beliau berkata siasatan sukarela dengan presiden Demokrat berusia 80 tahun itu berlangsung di White House selama dua hari sehingga semalam.
“Seperti kami katakan dari mula, presiden dan White House memberi kerjasama dalam siasatan ini,” katanya.
Sementara itu, White House berkata pihaknya bersikap telus, konsisten dengan melindungi dan memelihara integriti penyiasatan.
Ia merujuk soalan lanjut kepada Jabatan Kehakiman. Siasatan itu membabitkan dokumen yang ditemui dalam simpanan Biden, yang ketika itu adalah naib presiden di bawah kepemimpinan Barack Obama ketika kertas itu dikeluarkan dari White House.
Dokumen itu pertama kali ditemui di pejabat badan pemikir persendirian tempat presiden bekerja di Washington pada November tahun lalu.
Berikutnya pada 20 Disember, lebih banyak dokumen ditemui di garaj Wilmington, Delaware serta pada 12 Januari lalu penemuan seterusnya didapati di perpustakaan rumahnya. – AFP, 10 Oktober, 2023.
Komen