Usaha dilakukan bendung pertempuran di Gaza, kata Putera Arab Saudi


Susulan serangan darat, udara dan laut oleh pejuang Palestin yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Israel mendakwa kematian di pihak mereka mencecah 800. – Gambar EPA, 10 Oktober, 2023.

PEMIMPIN arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman memberitahu Presiden Palestin Mahmoud Abbas beliau berusaha membendung pertempuran daripada menjadi lebih buruk selepas serangan mengejut pejuang Hamas ke atas Israel, menurut media rasmi kerajaan.

Memetik Agensi Akhbar Saudi, Putera Mohammed juga memberitahu Abbas negara itu terus bersama rakyat Palestin untuk mencapai hak sah mereka bagi kehidupan yang layak, mencapai harapan dan aspirasi dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.

Susulan serangan darat, udara dan laut oleh pejuang Palestin yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Israel mendakwa kematian di pihak mereka mencecah 800 dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza yang meningkatkan jumlah kematian kepada 687 orang.

Keganasan semakin meningkat bermula dengan spekulasi Arab Saudi, yang tidak pernah mengiktiraf Israel, akan bersetuju untuk menormalisasikan hubungan sebagai sebahagian daripada perjanjian di mana ia akan mendapat jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat serta bantuan membangunkan program nuklear awam.

Bagaimanapun Putera Mohammed memberitahu Fox News bulan lalu isu Palestin sangat penting bagi Arab Saudi, rumah kepada tapak paling suci dalam Islam di Makkah dan Madinah.

“Kita perlu selesaikan bahagian itu. Kita perlu meringankan kehidupan rakyat Palestin,” kata Putera Mohammed. – AFP, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen