Thailand lancar satelit pemerhati bumi kedua, THEOS-2 


Satelit THEOS-2 telah dilancarkan ke orbit pada 8.36 pagi dari Pusat Angkasa Guiana di pelabuhan angkasa Eropah di Guiana Perancis dan memasuki orbit Bumi pada 9.30 pagi Isnin.– Gambar Youtube, 10 Oktober, 2023.

THAILAND melancarkan satelit cerapan bumi keduanya, THEOS-2 dari Pusat Angkasa Guiana di pelabuhan angkasa Eropah di Guiana Perancis, sekali gus menandakan satu lagi kejayaan negara dalam sektor aeroangkasa.

Satelit THEOS-2 telah dilancarkan ke orbit pada 8.36 pagi dan memasuki orbit Bumi pada 9.30 pagi Isnin.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata kejayaan pelancaran satelit THEOS-2 ke orbit adalah konsisten dengan penekanan  kerajaan terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi untuk pembangunan negara dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Beliau berkata data yang dikumpul oleh THEOS-2 adalah penting dalam menambah baik pengurusan pertanian, perancangan bandar, sumber asli dan alam sekitar, air dan pengurusan bencana di Thailand.

“THEOS-2 ialah aset negara yang berharga yang mampu menangkap imej dengan resolusi sangat tinggi sehingga 50 sentimeter setiap piksel, antara yang terbaik di kalangan negara ASEAN dan setanding dengan satelit terkemuka.

“Tambahan pula, THEOS-2 ialah infrastruktur asas untuk sektor sains dan teknologi Thailand, dan satu kebanggaan besar negara kita.

“Saya mempunyai harapan besar bahawa THEOS-2 akan meningkatkan lagi kapasiti Thailand dalam teknologi canggih untuk meningkatkan ekonomi dan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran THEOS-2, yang pada asalnya dijadualkan pada Sabtu lalu (7 Okt), telah ditangguhkan pada saat-saat akhir kerana masalah teknikal.

Srettha juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi (MHESI) dan Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) atas sumbangan mereka ke arah kemajuan sektor angkasa Thailand.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GISTDA, Dr. Pakorn Apaphant berkata THEOS-2, satelit cerapan bumi pertama Thailand yang mampu menghasilkan imejan beresolusi tinggi, boleh menangkap imej beresolusi tinggi dan menyediakan data yang lebih tepat untuk menjejak dan mengurus kawasan spatial.

“Selepas kemasukan THEOS-2 ke orbit, satelit akan beralih kepada mod operasi, termasuk ujian sistem kawalan dan penubuhan komunikasi dengan stesen kawalan darat untuk memastikan kestabilan dan ketepatan data.

“Data THEOS-2 akan tersedia untuk semua sektor di Thailand selepas kira-kira enam bulan. Ini akan meningkatkan ekonomi domestik, merangsang pendidikan, penyelidikan, dan inovasi dalam data spatial, dan memupuk lebih ramai saintis dan jurutera dalam bidang berkaitan, membantu membina kapasiti teknologi angkasa Thailand,” katanya.

Beliau menambah bahawa pelancaran satelit itu adalah kesinambungan misi THEOS-1, yang terus beroperasi selama lebih 15 tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Supamas Isarabhakdi berkata kejayaan pelancaran THEOS-2 menunjukkan pelaburan awam boleh membawa kepada penyelesaian inovatif demi menangani cabaran dunia sebenar.

“THEOS-2 ialah infrastruktur angkasa lepas termaju yang penting untuk negara.

“Data ini akan membantu dalam pengurusan bencana dan situasi kecemasan yang cekap,” katanya. – Bernama, 10 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen