Anwar tidak sokong penubuhan mana-mana parti baru, kata Pejabat Perdana Menteri


Menurut Pejabat Perdana Menteri, tindakan mengaitkan nama Anwar Ibrahim dengan usaha menubuhkan parti politik baharu 'amat tidak bertanggungjawab' selain menjejaskan kredibiliti beliau dan pentadbiran kerajaannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim tidak menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu serta kesal dengan tindakan mereka yang menyalahgunakan nama beliau bagi tujuan itu, kata pejabatnya.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa YAB perdana menteri tidak menyokong atau memperakui mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baru.

“Pejabat Perdana Menteri memandang serius tindakan mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama YAB perdana menteri bagi tujuan tertentu tanpa kebenaran dari Pejabat Perdana Menteri,” katanya pejabat itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang ahli perniagaan P Thiagarajan, yang dikatakan kenalan rapat Anwar, berhasrat menubuhkan sebuah parti politik kaum India.

Beliau dipetik menyuarakan hasratnya itu dalam satu majlis di Klang yang dianjurkan bagi memungut suara pemimpin masyarakat India mengenai keperluan sebuah parti baharu.

“Saya telah memberitahu kepada Anwar mengenai majlis hari ini. Beliau berkata ‘teruskan’.

“Apa jua maklum balas hari ini, saya akan sampaikan kepadanya dalam masa terdekat.

“Sebarang keputusan muktamad akan diambil oleh beliau. Jangan risau, kita harap yang terbaik daripada PM kita,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, tindakan mengaitkan nama Anwar dengan usaha menubuhkan parti politik baharu “amat tidak bertanggungjawab” selain menjejaskan kredibiliti beliau dan pentadbiran kerajaannya.

“Sehubungan itu, pihak Pejabat Perdana Menteri menasihatkan agar rakyat tidak keliru dengan kenyataan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu lagi.

Majlis di Klang pada Sabtu turut dihadiri beberapa ahli politik veteran kaum India antaranya bekas presiden MyPPP M Kayveas, bekas setiausaha agung IPF K Panjamoorthy serta veteran MIC Dr N Ganabaskaran.

Dua lagi bekas wakil rakyat juga hadir iaitu bekas ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan bekas Adun Kahang Ramis Subramaniam.

Majlis diberi nama “Komuniti India ke arah Masa Depan yang Lebih Cerah” dianjurkan bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC KP Samy.

Malaysiakini juga memetik Samy berkata hadirin diberi kertas dengan empat pilihan iaitu tubuh parti politik, tubuh NGO yang kuat, perkasakan parti politik India yang kini bersama Barisan Nasional atau tubuh sayap India di setiap parti komponen Pakatan Harapan. – 9 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen