Majoriti BN di PRK DUN Pelangai berkurangan kerana fitnah, pelbagai isu, kata Zahid


Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa majoriti berkurangan yang diperoleh parti itu dalam PRK DUN Pelangai Sabtu lepas adalah disebabkan fitnah dan pelbagai isu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa majoriti berkurangan yang diperoleh parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu lepas adalah disebabkan fitnah dan pelbagai isu yang dilemparkan terhadap calonnya.

“Dalam PRK mana pun, mana-mana calon pun jika mereka diterjah dengan pelbagai fitnah dan isu pasti situasi itu akan menyebabkan majoriti terjejas.

“Namun yang penting ialah kemenangan itu bukan kemenangan yang kecil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Halal On Track di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai majoriti diperoleh BN dalam PRK DUN Pelangai yang berkurangan 50 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) November tahun lepas.

Pada PRK DUN Pelangai Sabtu lepas, calon BN Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi setelah memperoleh 7,324 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya meraih 47 undi.
 
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menafikan pengurangan majoriti hampir separuh berbanding PRU lepas itu memberi gambaran sokongan terhadap BN semakin berkurangan.

Beliau seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua parti komponen Kerajaan Perpaduan, kepimpinan BN negeri dan bahagian serta pengundi yang membantu parti itu mempertahankan kerusi DUN Pelangai. – Bernama, 9 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen