Mahkamah denda bekas pelajar UM protes di upacara konvokesyen


Mahkamah Majistret KL menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap bekas aktivis pelajar UM Wong Yan Ke atas kesalahan menghina naib canselor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2023.

BEKAS aktivis pelajar Wong Yan Ke didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menghina naib canselor Universiti Malaya (UM) dengan mengadakan protes ketika upacara konvokesyen pada 2019.

Dalam keputusannya, Majistret Illi Marisqa Khalizan berkata pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa.

Peguam Chong Kar Yan berkata Wong, yang tamat pengajian jurusan kejuruteraan awam di UM, akan membayar denda itu tetapi akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Bekas presiden Persatuan Belia Baharu UM itu didakwa menghina naib canselor Abdul Rahim Hashim apabila dia membawa plakad protes di atas pentas, mendesak Rahim meletak jawatan selepas ucapannya pada kongres Maruah Melayu, yang didakwanya rasis.

Susulan protes itu, UM mengkritik tindakan Wong, dan kemudian membuat laporan polis terhadapnya.

Wong didakwa pada Februari 2020 kerana sengaja menghina dan melakukan provokasi terhadap Rahim yang pada masa itu adalah naib canselor UM, iaitu ketika upacara konvokesyen ke-59 UM di Dewan Tunku Canselor pada 14 Oktober, 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – 9 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen