KEMENTERIAN Luar Israel mengesahkan dua pelancong Israel terbunuh dalam insiden tembakan di wilayah utara Mesir di Iskandariah pada Ahad.
Dua warga Israel dan pemandu warga tempatan mereka maut ketika mereka yang dalam lawatan berkumpulan pelancong diserang anggota keselamatan tempatan yang melepaskan tembakan ke arah mereka, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Seorang lagi warga Israel mengalami kecederaan sederhana.
Kementerian dan Kedutaan Israel di Kaherah sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat mereka yang terbunuh dan baki kumpulan pelancong itu ke Israel “secepat mungkin”, menurut kenyataan tersebut.
Menurut saluran AlQahera News TV Mesir, dua pelancong Israel dan seorang warga Mesir terbunuh di Iskandariah pada Ahad selepas tembakan rambang dilepaskan seorang anggota polis Mesir mengenai kumpulan pelancong Israel yang melawat bandar itu, lapor Xinhua.
“Anggota polis itu segera ditangkap dan prosedur undang-undang terhadapnya telah dimulakan, manakala seorang warga Mesir yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan,” laporan itu memetik sumber keselamatan sebagai berkata.
Insiden itu berlaku sehari selepas serangan besar-besaran berlaku antara Palestin dan Israel di Semenanjung Gaza yang menyebabkan banyak kemalangan jiwa di kedua-dua belah pihak.
Pada Sabtu, kumpulan Hamas, yang mengawal Gaza, ‘menghujani’ Israel dengan beribu-ribu roket dalam serangan mengejut yang jarang berlaku yang dibalas dengan serangan udara besar-besaran Israel ke atas Gaza dan tindakan menghukum, termasuk gangguan bekalan elektrik.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Gaza, sekurang-kurangnya 313 rakyat Palestin terbunuh manakala 1,990 cedera akibat serangan Israel di Gaza.
Pada masa sama, sekurang-kurangnya 300 warga Israel terbunuh dan lebih 1,800 cedera semasa serangan Hamas yang juga melibatkan serangan darat di selatan Israel, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Israel.
Hamas juga menahan beberapa orang awam dan tentera Israel sebagai tebusan, seperti yang disahkan oleh pegawai Israel.
Terlibat dalam perjanjian damai dengan Israel sejak tahun 1979, Mesir telah bertahun-tahun menjadi pendamai serantau utama dalam konflik Palestin-Israel yang berlarutan selama beberapa dekad.– Bernama, 9 Oktober, 2023.
Komen