SEORANG pelajar Kemboja adalah antara yang maut dalam pertempuran antara tentera Israel dan Hamas yang tercetus semalam, kata Unit Jurucakap Kerajaan Diraja dalam satu kenyataan hari ini, lapor Xinhua.
“Kerajaan Diraja amat sedih mendengar berita seorang pelajar Kemboja daripada kira-kira 450 warga Kemboja yang berada di Israel meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa pertempuran antara tentera Israel dan Hamas, yang meletus pada 7 Oktober,” menurut kenyataan itu.
“Kerajaan Diraja ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam atas kehilangan rakyat kami dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka,” tambahnya.
Dalam pesanan suara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyeru semua warga Kemboja di Israel supaya lebih berwaspada.
Kementerian Luar Kemboja mengeluarkan kenyataan mengutuk semua bentuk keganasan. – Bernama, 8 Oktober, 2023.
Komen