Muhyiddin anggap kekalahan Perikatan di Pelangai adalah ‘kejayaan’


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menganggap kekalahan mereka di DUN Pelangai adalah kejayaan kerana berlaku pertambahan undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2023.

PERIKATAN Nasional memperolehi keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai semalam jika dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, kata Muhyiddin Yassin.

Menurut pengerusi PN itu, undi diterima mereka naik sebanyak 1,115 undi, manakala undi diterima Barisan Nasional pula merosot.

Dan semua ini berlaku ketika Pakatan Harapan menggerakkan semua jentera dan sumber kerajaan serta secara terbuka membantu kempen BN, tambahnya lagi.

“Majoriti yang diperolehi oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK ini.

“Keputusan PRK ini juga menunjukkan BN gagal menambah sokongan walaupun parti itu telah bergabung dengan PH dan seluruh jentera serta sumber kerajaan dikerah secara terang-terangan untuk membantu kempen BN.

Bekas perdana menteri itu juga percaya yang berlaku peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN di Pelangai.

“Saya percaya sepertimana trend dalam Pilihan Raya Negeri dan siri Pilihan Raya Kecil sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi (vote transferability) yang ketara antara PH dan BN. Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Calon BN Amizar Abu Adam menang PRK Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.

Amizar yang juga ahli Jawatankuasa Umno Bentong memperolehi 7,324 undi untuk mengalahkan calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi. Calon Bebas Haslihelmy D.M. Zulhasni pula hanya menerima 47 undi dan hilang wang deposit. – 8 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen