AMERIKA Syarikat mengutuk serangan Hamas terhadap Israel dan berikrar memastikan sekutu utama AS itu mempunyai cara untuk mempertahankan diri.
Presiden Joe Biden menyifatkan serangan itu sebagai “tragedi yang dahsyat di peringkat manusia” dan berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menggariskan sokongannya.
“Saya memberitahunya bahawa Amerika Syarikat berdiri bersama rakyat Israel dalam menghadapi serangan pengganas ini,” kata Biden dalam ucapan televisyen dari White House.
“Dalam pentadbiran saya, sokongan terhadap keselamatan Israel adalah kukuh dan tidak berbelah bahagi.
“Kami akan memastikan bahawa mereka mendapat bantuan yang diperlukan oleh rakyat mereka dan boleh terus mempertahankan diri mereka.”
Memandangkan serangan itu memberi ancaman untuk mencetuskan konflik yang lebih luas, Biden turut memberi amaran “ini bukan masa untuk mana-mana pihak yang memusuhi Israel untuk mengeksploitasi serangan ini untuk mencari kelebihan. Dunia sedang memerhati.”
Biden menegaskan bahawa Israel - yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dengan berbilion dolar senjata - mempunyai “hak untuk mempertahankan diri” selepas kumpulan Palestin Hamas yang disokong Iran melancarkan serangan udara, laut dan darat.
Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin menegaskan semula komitmen Washington, dengan berkata “dalam beberapa hari mendatang Jabatan Pertahanan akan berusaha untuk memastikan bahawa Israel mempunyai apa yang diperlukannya.”
Sementara itu, diplomat tertinggi AS Antony Blinken bercakap dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas—yang mana pergerakan Fatah yang berpangkalan di Tebing Barat adalah saingan kepada Hamas—dan “menyeru semua kepimpinan di rantau itu untuk mengutuk” serangan ke atas Israel. – AFP, 8 Oktober, 2023.
Komen