Gempa bumi ragut 15 nyawa, 40 cedera di Afghanistan


Banyak kediaman dilaporkan rosak atau musnah sama sekali. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023.

SEKURANG-kurangnya 15 orang disahkan maut manakala 40 lagi cedera dalam gempa bumi yang melanda wilayah barat Afghanistan pada Sabtu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Alam negara dalam satu kenyataan memaklumkan gempa bumi melanda barat negara termasuk Herat, Badghis dan Farah dengan beberapa gegaran susulan pada sebelah pagi, lapor Xinhua.

Kenyataan itu menambah jumlah mangsa dijangka bertambah kerana tiada laporan diterima daripada wilayah Badghis dan Farah setakat ini.

Gegaran berlaku sekitar 11.10 waktu tempatan (0640 GMT) itu memaksa orang ramai meninggalkan rumah mereka.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa China, dua gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan Afghanistan pada Sabtu.

Banyak kediaman dilaporkan rosak atau musnah sama sekali.

Pasukan penyelamat dihantar ke kawasan yang terjejas dan pegawai berkaitan diarahkan untuk menyelaraskan usaha dengan agensi bantuan untuk membekalkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas. – Bernama, 7 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen