Lebih 3,000 sekolah digazet sebagai PPS hadapi banjir, kata menteri


Kata Fadhlina, fasiliti di PPS juga akan ditambah baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

LEBIH 3,000 sekolah di seluruh negara digazetkan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) sebagai persediaan menghadapi bencana alam itu, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata jawatankuasa banjir Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengadakan mesyuarat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaraskan persediaan PPS terlibat.

“Sekolah yang digazetkan sebagai PPS bersedia, insya-Allah kita berdoa supaya dipermudahkan urusan, paling penting kita perlu ingatkan murid dan guru untuk sentiasa menjaga nyawa serta keselamatan masing-masing dalam menghadapi ujian cuaca ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani@KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali di Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM turut mewujudkan bilik gerakan banjir bagi memantau keadaan PPS yang digazetkan itu.

“Selain itu, kita juga akan buat tambah baik fasiliti di PPS dan mengadakan latihan persediaan.

“Dari segi operasi contohnya pemindahan aset sekiranya ada ramalan daripada MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia), kita akan buat pemindahan aset segera. Kita juga sediakan kerusi dan meja plastik supaya lebih mudah serta menjamin keselamatan,” katanya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen