Tiada dokumen anak guam dirampas SPRM, kata peguam Muhyiddin


Noel Achariam

Pejabat Rosli Dahlan Saravana (RDS) semalam diserbu SPRM, ia adalah peguam Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

FIRMA guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) hari ini mengesahkan yang tiada dokumen anak guamnya dirampas ketika pejabatnya diserbu Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

RDS berkata pegawai SPRM tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen anak guam mereka.

“Sebagai firma guaman, kami komited untuk mencegah sebarang salah guna, ekploitasi atau paksaan oleh mana-mana pihak berkuasa dalam proses kami memberi khidmat kepada anak guam kami.

“Kami kekal komite kepada prinsip ini, dan kami akan terus melindungi hak dan kepentingan perundangan semua anak guam kami,” katanya dalam satu kenyataan.

RDS berkata pejabat undang-undang mempunyai kelebihan perundangan di mana dokumen pelanggan mempunyai keistimewaan perundangan dan tidak boleh dirampas oleh SPRM.

Menurut firma guaman itu, ini adalah selaras dengan Seksyen 46 Akta SPRM 2009 yang mengiktiraf keistimewaan perundangan ke atas semua maklumat dan komunikasi.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengecam tindakan SPRM yang menyerbu pejabat peguamnya itu.

Beliau turut mempersoalkan rasional pihak berkuasa melakukan serbuan.

“SPRM serbu pejabat peguam saya. Mengapa mereka buat begitu?

“Ini adalah salah guna kuasa pihak berkuasa. Cukup-cukuplah, Anwar (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

“Hentikan penindasan ini. Fokus untuk selamatkan ekonomi dan tolong rakyat,” katanya pada satu majlis di Bentong, malam tadi.

RDS menambah yang peguam adalah aspek utama dalam pentadbiran keadilan masyarakat yang mahu demokrasinya progresif dan berfungsi.

“Peguam dan agensi pihak berkuasa tertakluk kepada kewajiban untuk menghormati dan menjunjung undang-undang.

“Rakyat mempunyai hak untuk perwakilan perundangan dan ini adalah prinsip sejagat yang tidak boleh diabaikan,” tambahnya. – 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen