Itali rangka pelan kecemasan susulan gempa bumi dekat Naples


Gempa bumi berulang berlaku di di kawasan Phlegraean Fields berhampiran Naples baru-baru ini. – Gambar AFP, 7 Oktober, 2023.

PIHAK berkuasa Itali telah merangka pelan kecemasan, termasuk pemindahan besar-besaran penduduk yang tinggal di kawasan Phlegraean Fields berhampiran Naples, susulan siri gempa bumi berulang di rantau itu baru-baru ini.

Pelan yang diluluskan oleh kerajaan Itali pada malam Khamis, mengandungi langkah-langkah melindungi penduduk tempatan dan infrastruktur daripada gegaran besar dan letusan gunung berapi, lapor Xinhua.

Ia mesti diselesaikan dalam tempoh 60 hari, dan disokong dengan €52.2 juta (AS$55.3 juta), menurut Kabinet.

“Ujian tekanan” telah dijalankan pada Jumaat di hospital di bandar-bandar sekitar Padang Phlegraean dan simulasi pemindahan dijadual berlangsung pada akhir Oktober, lapor media tempatan.

Padang Phlegraean, dikenali sebagai Campi Flegrei ialah kawasan padat penduduk, meliputi kira-kira 130 km persegi di barat Naples.

Wilayah ini menyaksikan 1,118 gempa bumi pada Ogos sahaja, menurut laporan bulanan terkini oleh Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV).

Kejadian seismik terkini termasuk 270 gegaran yang direkodkan antara 25 Sept dan 1 Oktober, termasuk gempa bumi 4.2 pada skala Richter pada 27 September, dan 4.0 pada skala Richter pada 2 Oktober, menurut INGV.

Dalam buletin terbaharu, pakar INGV berkata situasi semasa tidak menunjukkan sebarang ancaman segera di kawasan itu, walaupun terdapat aktiviti seismik yang berterusan.

Menteri Perlindungan Awam Itali Nello Musumeci juga berkata pelan pemindahan besar-besaran akan dilaksanakan “sekiranya keperluan mendesak”.

Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk rancangan itu juga akan membantu pihak berkuasa tempatan memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan dan melancarkan kempen kesedaran awam.

Aktiviti seismik yang berterusan di Padang Phlegraean, meskipum bukan fenomena baharu bagi penduduk tempatan, dikaitkan dengan “bradyseism,” yang merujuk kepada kenaikan atau penurunan permukaan Bumi secara beransur-ansur. (1 euro = 1.06 dolar AS). – Bernama, 7 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen