Serbu pejabat peguam, Muhyiddin dakwa SPRM salah guna kuasa


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyerbu pejabat peguamnya semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu pejabat peguamnya semalam.

Beliau turut mempertikaikan rasional tindakan itu.

“SPRM serbu pejabat peguam saya. Mengapa mereka buat begitu?

“Ini salah guna kuasa oleh pihak berkuasa. Cukuplah, Anwar (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

“Hentikan penindasan ini. fokuslah kepada menyelamatkan ekonomi dan bantu rakyat,” katanya pada program ceramah berhampiran Bentong, menjelang PRK Pelangai di Pahang hari ini.

Terdahulu, dilaporkan SPRM menyiasat beberapa individu berhubung salah laku dalam proses mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan The Star Online, seorang peguam antara yang disiasat kerana didakwa menerima wang ketika proses berkenaan.

“Wang itu kemudian dilaburkan untuk syarikat pelaburan tidak berlesen. Malah, Bank Negara Malaysia pernah mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan pada 2021,” kata seorang sumber.

Sumber itu berkata peguam berkenaan sebelum ini dilantik 1MDB untuk menyelesaikan isu aset dengan syarikat luar negara.

“Pegawai daripada SPRM turut hadir di firma guaman terbabit semalam untuk mendapatkan dokumen berkaitan siasatan berkenaan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap seorang peguam yang terbabit dalam usaha kerajaan mendapatkan semula aset 1MDB.

Semalam, SPRM menyerbu satu firma guaman milik peguam kepada Muhyiddin iaitu Rosli Dahlan. – 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen