Pelancong diminta jauhi Shibuya semasa sambutan Halloween


Pelawat asing dan pengunjung parti diminta tidak mengunjungi kawasan Shibuya di Tokyo, Jepun untuk sambutan Halloween yang dijangkakan pada akhir bulan ini kerana risiko dirempuh. – Gambar EPA, 7 Oktober, 2023.

PELAWAT asing dan pengunjung parti diminta tidak mengunjungi kawasan Shibuya yang sibuk di Tokyo, Jepun untuk sambutan Halloween yang dijangkakan pada akhir bulan ini kerana risiko dirempuh, kata seorang pegawai kerajaan tempatan, lapor Xinhua .

Datuk bandar Shibuya Ward di Tokyo Ken Hasebe pada sidang media pada Khamis menggesa orang ramai yang mahu melawat Shibuya untuk Halloween pada 31 Oktober dan beberapa hari menjelang sambutan itu untuk mempertimbangkan semula rancangan mereka.

Video bertajuk “Pada Malam Halloween Semua Orang Harus Menjauhi Shibuya” dipaparkan, mengecam perbuatan yang dilarang sama sekali di kawasan itu, termasuk keganasan, minum di jalanan dan pelanggaran lalu lintas, yang tidak dapat dielakkan berlaku dalam kalangan orang ramai yang meraikan Halloween.

“Tahun ini, kami menjelaskan kepada dunia Shibuya bukan tempat untuk acara Halloween… Tolong, jangan datang ke kawasan stesen Shibuya untuk Halloween,” kata Hasebe.

Menyedari ramai pengunjung dari dalam dan luar Jepun datang ke kawasan itu setiap tahun untuk perayaan yang menyeronokkan, Hasebe menegaskan tragedi rempuhan seperti yang membunuh kira-kira 160 orang semasa menyambut Halloween tahun lepas di daerah Itaewon di Seoul boleh berlaku di Shibuya.

Antara 27 Oktober dan 31 Oktober tahun ini, Shibuya meningkatkan jumlah pengawal keselamatan dan pegawai untuk mengingatkan orang ramai tentang peraturan yang melarang pengambilan alkohol berhampiran stesen itu, kata pegawai kerajaan berkenaan.

Dalam tempoh itu, sekatan lalu lintas juga akan dilaksanakan pada waktu malam dan awal pagi, katanya. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen