Kerajaan kenal pasti lokasi untuk pelabur asing sektor tenaga boleh diperbaharui


Malaysia berada di hadapan dalam menerima pelaburan bagi sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang melakukan lawatan kerja ke UAE semalam. – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023.

KERAJAAN akan mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai bagi pelabur asing yang berminat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, ini berikutan Malaysia menjadi tarikan kepada pelabur luar yang mahu datang ke Malaysia untuk melabur dalam bidang tersebut.

“Beberapa kawasan akan dipilih, kita akan mengenal pasti di antara 10 hingga 12 tempat. Mereka (pelabur) akan pilih. Sebahagiannya di Pahang,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan kerja dua hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata ketika ini, Malaysia berada di hadapan dalam menerima pelaburan bagi sektor tenaga boleh diperbaharui dan akan semakin ke depan jika komitmen pelaburan daripada UAE yang bernilai AS$8 bilion untuk projek tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt menjadi kenyataan.

Kerajaan juga katanya, bercadang supaya pusat data yang ketika ini berada di Johor dan Selangor dikembangkan ke negeri berdekatan.

“Sewaktu pertemuan dengan pelabur, mereka semua meminta kita mempercepatkan dan memudahkan proses untuk melakukan perniagaan. Ini yang kita kena usahakan, sebab ada negara lain yang boleh menawarkan dengan lebih baik daripada kita.

“Jika kita memudahkan mereka, pelaburan masuk akan lebih tinggi dan pendapatan negara meningkat,” katanya. – Bernama, 7 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen