Warga KL, wakil rakyat bantah wujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan


Noel Achariam

Warga KL dan wakil rakyat berkata tidak ada keperluan untuk mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

TIDAK ada keperluan untuk mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan seperti dicadangkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, kata warga Kuala Lumpur dan wakil rakyat.

Mereka berkata berlaku pertindihan dan ia akan hanya menjadi pendua kepada peranan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sepatutnya kata mereka, keutamaan perlu diberikan kepada memastikan kebajikan rakyat.

Mereka turut mempersoalkan keperluan untuk kementerian diwujudkan sedangkan sudah sedia ada Jabatan Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur M. Ali berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak bijak dengan menubuhkan Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Kementerian Kuala Lumpur akan bertindih kerana kita sudah ada datuk bandar Kuala Lumpur. Maka, tidak perlu mewujudkannya semula.

“Mereka patut fokus kepada Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Isnin, Zahid berkata beliau berharap Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula jika berlaku rombakan Kabinet.

Kementerian Wilayah Persekutuan digantikan dengan Jabatan Wilayah Persekutuan, yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, pada Disember tahun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan terakhir adalah Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim, yang memegang portfolio itu dari Ogos 2021 hingga pilihan raya umum lalu.

Ali berkata ramai yang tidak berminat untuk Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula kecuali pihak yang ada kepentingan dan agenda sendiri.

“Sebelum ini, berlaku kes salah guna tanah. Malah, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur juga di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Ali berkata penduduk masih mahukan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

“Kami berasakan datuk bandar sepatutnya bebas,” katanya, menambah kerajaan perlu mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

Bagi jawatan menteri Wilayah Persekutuan, kata keputusan perlu dibuat oleh Anwar untuk memberi cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak patut ada sebarang agenda untuk jawatan itu,” katanya. – 7 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen