KOMUNITI perniagaan hari ini memberi amaran Malaysia akan kehilangan pelaburan langsung asing daripada sektor pembuatan elektronik dengan pengenalan Rang undang-undang (RUU) Generasi Penamat atau Generation End Game (GEG).
RUU itu ditetapkan untuk dibentangkan di Parlimen Selasa depan dan dilaporkan mengekalkan Peruntukan GEG yang akan melarang penjualan produk tembakau dan vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.
Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) berkata RUU GEG menghantar mesej yang salah kepada pelabur.
“Pelabur akan keberatan untuk melabur di negara yang melaksanakan larangan keras industri itu dan ia pasti menghalang pelaburan masa depan ke dalam sektor ini di Malaysia.
“Pelaburan pertama yang berisiko ialah Health E-Atomisation Industrial Park dan Asean Health E-Atomisation Forum yang diumumkan awal tahun ini di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun MICCI, organisasi perniagaan sektor swasta tertua di Malaysia berkata ia menyokong sebarang usaha menghentikan tembakau atau mengurangkan bahaya oleh kerajaan.
“Awal tahun ini diumumkan Melaka bakal menerima pelaburan RM3.5 bilion menerusi tujuh projek yang akan dibangunkan di negeri ini dengan kerjasama pelabur dari China.
“Bukan satu rahsia lagi bahawa pengeluar vape China adalah yang terbesar di dunia dan kerana daripada permintaan yang semakin meningkat di pelbagai negara, akan ada pengembangan ke rantau ini memandangkan potensi industri vape di sini.
“Tetapi dengan dasar GEG, ia berkemungkinan akan membuatkan ramai pelabur mencari tempat lain,” katanya.
MICCI berkata Malaysia akan dilihat sebagai tidak mesra perniagaan, memberi isyarat kepada pelabur berpotensi bahawa kerajaan mengambil sikap melampau tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap pelaburan dan kesan ekonomi.
Ia menambah apa yang diperlukan segera ialah mengawal selia dan mengenakan cukai kepada industri vape, mencadangkan Putrajaya harus memisahkan peruntukan GEG daripada rang undang-undang untuk segera menangani cecair vape yang tidak terkawal yang berpotensi berbahaya dan memperoleh hasil cukai yang sangat diperlukan. – 6 Oktober, 2023.
Komen