ELON Musk berdepan tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) susulan beliau menolak memberi keterangan berhubung pembelian Twitternya pada 2022, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sepina disampaikan kepada Musk, tetapi beliau gagal hadir di mahkamah pada 15 September, menurut aduan yang difailkan oleh peguam SEC di daerah utara California pada Khamis, lapor NBC News.
“Keengganan berterusan Musk untuk mematuhi sepina pentadbiran SEC menghalang dan melambatkan siasatan kakitangan SEC bagi menentukan sama ada pelanggaran undang-undang sekuriti persekutuan berlaku.
“Oleh itu, SEC kini meminta mahkamah untuk memaksa Musk hadir untuk keterangan penyiasatan,” kata peguam itu.
Siasatan SEC berkaitan dengan pelanggaran undang-undang sekuriti yang mungkin berlaku apabila Musk memperoleh syarikat itu dengan nilai AS$44 bilion.
Jutawan teknologi itu didakwa mengelak pelbagai percubaan SEC untuk bertemu dengannya, walaupun agensi itu menawarkan untuk menjadualkan pertemuan di Fort Worth, Texas, “pejabat SEC yang paling hampir dengan kediaman peribadi Musk ketika ini”, menurut SEC.
Bagaimanapun, Peguam Musk Alex Spiro, memberi respons kepada tuntutan itu dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Barron.
“SEC mengambil keterangan Musk beberapa kali dalam penyiasatan yang salah ini – sudah cukup,” katanya. – Bernama, 6 Oktober, 2023.
Komen