Kementerian adakan operasi kesan manipulasi bekalan beras, kata timbalan menteri


Pemeriksaan dijalankan di peringkat kilang, pemborong dan runcit dalam usaha membanteras manipulasi bekalan beras, kata Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2023.

DALAM usaha menangani masalah kekurangan bekalan beras di negara ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan operasi di seluruh negara bagi membanteras premis yang melakukan manipulasi bekalan beras.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin berkata sampel yang diambil di Selangor sudah pun dihantar kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Ia bagi tujuan analisis mengesan pertukaran kampit beras atau kegiatan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

“Pemeriksaan dijalankan tak kira tempat sama ada di peringkat kilang, pemborong atau runcit.

 “Kementerian akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan merentas agensi melalui Operasi Bersepadu BPT dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT.

“Pemeriksaan diadakan meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa semua premis pemborong beras mempunyai bekalan BPT dan BPI, lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan. – 6 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen