Roger Ng diserah kepada Malaysia untuk hadapi pertuduhan kes 1MDB


Mahkamah AS mendapati bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng bersalah melakukan konspirasi menyeleweng berbilion ringgit dana bersalah melakukan konspirasi menyeleweng berbilion ringgit dana 1MDB. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2023.

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan bersalah melakukan konspirasi menyeleweng berbilion ringgit dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk berdepan pertuduhan berkaitan.

Reuters melaporkan Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Margo Brodie di Brooklyn semalam mengarahkan Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marsyal AS hari ini, yang kemudian akan menyerahkan beliau kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia untuk dibawa pulang.

Ng dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara, seperti yang dinyatakan pendakwa dalam surat kepada Brodie sebelum Ng diserahkan kepada Malaysia. Perkara itu dipersetujui peguam Ng menurut surat itu. Peguam Ng bagaimanapun masih belum mengulas mengenainya.

Tarikh penyerahan Ng sebelum ini ditangguhkan bagi memberi pendakwa lebih banyak masa untuk berkomunikasi dengan Putrajaya sebelum membenarkan beliau dibicarakan di Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, bank pusat Singapura telah mengeluarkan perintah larangan seumur hidup terhadap Ng atas alasan “salah laku teruknya”. Bank pusat itu berkata kebenaran untuk Ng meneruskan aktiviti perniagaan di republik itu bertentangan dengan kepentingan awam.

Tuduhan ke atas NG bertitik tolak dari AS$6.5 bilion (kira-kira RM30 bilion) yang diterbitkan Goldman Sachs bagi membantu 1MDB menjualnya pada 2012 dan 2013. Pendakwa raya AS berkata pegawai, bank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion daripada jumlah itu.

Ng ialah warganegara Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di negara ini.

Ng dijatuhi hukuman penjara pada Mac, hampir setahun selepas juri mendapati beliau bersalah membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan menyeleweng dana 1MDB, melakukan pengubahan wang haram, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Pada Oktober 2020, Goldman setuju membayar AS$2.9 bilion, dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS. – 6 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen