112 maut serangan dron di akademi tentera Syria


Menteri Kesihatan Hassan al-Ghobash melawat mangsa cedera dalam serangan dron di akademi tentera Syria semalam. – Gambar AFP, 6 Oktober, 2023.

SERANGAN akademi tentera Syria semalam mengorbankan lebih 110 orang, kata pemantau perang dengan media kerajaan menyalahkan organisasi pengganas atas serangan dron di Homs yang dikuasai kerajaan.

Dalam kejadian berasingan, serangan udara Turkiye di timur laut dikuasai Kurdish mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, menurut tentera Kurdish, selepas Ankara mengancam membalas serangan bom.

Di pusat bandar Homs, organisasi pengganas bersenjata menyasarkan majlis tamat pengajian untuk pegawai akademi tentera, menurut agensi berita rasmi Syrian Arab News Agencu (SANA) yang memetik kenyataan tentera.

Syrian Observatory for Human Rights, pemantau yang berpangkalan di Britain melaporkan 112 maut termasuk 21 orang awam, 11 daripadanya wanita dan kanak-kanak perempuan. Ia berkata sekurang-kurangnya 120 yang lain cedera.

Pada awalnya Menteri Kesihatan Hassan al-Ghobash memberitahu stesen televisyen negara, jumlah kematian 80 mangsa termasuk enam wanita dan enam kanak-kanak serta kira-kira 240 cedera.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Serangan itu dilakukan dengan dron sarat bahan letupan, menurut tentera dalam kenyataan dan berikrar untuk bertindak balas dengan kekuatan penuh.

Kerajaan mengisytiharkan tiga hari berkabung mulai hari ini. – AFP, 6 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen