Biden bina lagi tembok sempadan dengan Mexico


Presiden Joe Biden meneruskan rancangan membina tembok sempadan dengan Mexico susulan pentadbirannya terikat dengan undang-undang diperkenalkan di bawah Donald Trump. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengembalikan rancangan memanjangkan tembok sempadan dengan Mexico dan mendakwa pentadbirannya terikat dengan undang-undang yang diperkenalkan di bawah Donald Trump.

Biden dari Demokrat ketika persaingan ke White House dengan Trump pada 2020, berjanji akan membatalkan dasar ditandatangani Republikan dan tidak akan membina tembok itu.

Bagaimanapun, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri semalam mengumumkan pembinaan bahagian baharu di selatan Texas secara tiba-tiba dan segera, ketika pencerobohan kumpulan migran yang semakin meningkat.

Biden yang bakal berdepan Trump menjelang persaingan semula pilihan raya 2024, juga menegaskan pembinaan itu disebabkan tindakan yang dibuat pendahulunya itu.

“Mereka perlu menggunakan wang itu untuk apa yang sudah diperuntukkan. Saya tidak boleh menghalangnya,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.

Beliau berkata dana itu diperuntukkan untuk tembok sempadan oleh Kongres AS di bawah Trump pada 2019, dan penggubal undang-undang sejak itu menolak rayuannya untuk menetapkan semula dana itu.

Beliau turut ditanya sama ada tembok sempadan itu berkesan, Biden dengan ringkas menjawab “tidak”.

Bahagian tembok baharu itu akan dibina di sektor pencerobohan haram di Lembah Rio Grande di sempadan AS-Mexico, dengan lebih daripada 245,000 percubaan kemasukan haram pada tahun ini.

Bagaimanapun Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Alejandro Mayorkas berkata pengumuman itu dilaporkan di luar konteks.

“Tindakan yang kami ambil – kami tidak mempunyai pilihan. Tiada dasar pentadbiran baharu dengan tembok sempadan,” kata Mayorkas pada sidang media di Mexico dengan Setiausaha Negara Antony Blinken. – AFP, 6 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen