Abang Johari gesa kerajaan beri perhatian isu dibangkitkan Cuepacs


Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata ekonomi negara harus dipertingkat agar mampu dari segi kewangan untuk memenuhi pelbagai keperluan termasuk menyelesaikan isu yang dibawa oleh Cuepacs. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2023.

SARAWAK meminta kerajaan persekutuan memberi perhatian kepada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) demi kebajikan golongan itu.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata antaranya ialah mengkaji semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dan sistem pencen bagi memastikan perlindungan sewajarnya selain menilai semula kadar elaun wilayah.

“Kerajaan juga perlu melihat kepada isu kekurangan kuarters terutama di kawasan luar bandar bagi memastikan keselesaan penjawat awam khususnya di Sarawak,” katanya dalam ucapan bagi Program Malaysia MADANI di dalam Perkhidmatan Awam anjuran Cuepacs di Kuching, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Gerawat Gala.

Abang Johari juga berkata ekonomi negara harus dipertingkat agar mampu dari segi kewangan untuk memenuhi pelbagai keperluan termasuk menyelesaikan isu yang dibawa oleh Cuepacs.

Beliau berharap kestabilan politik akan terus berkekalan supaya kerajaan persekutuan dapat menumpukan perhatian terhadap usaha membina ekonomi yang kukuh dan mampan.

“Dengan ekonomi yang baik, saya yakin kerajaan persekutuan boleh memberi perhatian pada langkah menyelesaikan tuntutan penjawat awam yang banyak berjasa kepada kesejahteraan negara,” katanya. – Bernama, 5 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen