CHINA berikrar untuk terus mendukung standard tinggi dan kualiti Tibet dalam mewujudkan tamadun ekologi di wilayah itu.
Kaunselor Negara China dan Menteri Luar, Wang Yi berkata melindungi ekologi dataran tinggi Qinghai-Tibet bukan sahaja penting untuk kelangsungan hidup manusia dan pembangunan di negara itu, ia juga penting kepada persekitaran iklim serantau dan global.
Beliau berkata oleh itu kerajaan China juga akan memperdalam lagi pertukaran dan kerjasama antarabangsa dalam bidang perlindungan ekologi untuk manusia.
“Tibet, China, dikenali sebagai ‘bumbung dunia’ dengan gunung-ganang dan sungai-sungai yang mengagumkan serta orang yang luar biasa.
“Himalaya adalah ‘sumber sungai’ di Asia, dan penghalang penting kepada keselamatan ekologi global,” katanya berucap merasmikan Forum Trans-Himalaya ketiga untuk Kerjasama Antarabangsa yang diadakan di sini pada Khamis.
Forum Trans-Himalaya untuk Kerjasama Antarabangsa telah dimulakan pada 2018 untuk memperdalam kerjasama praktikal dalam kalangan negara serantau dalam pelbagai subjek, termasuk ketersambungan geografi, perlindungan alam sekitar, pemeliharaan ekologi dan meningkatkan hubungan budaya.
Tema mesyuarat ketiga ialah tamadun ekologi dan perlindungan alam sekitar. Forum itu kali terakhir diadakan pada 2019.– Bernama, 5 Oktober, 2023.
Komen