Petisyen Bersih tuntut kerajaan hormati undang-undang


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata petisyen dilancarkan bertujuan menggesa perdana menteri bertindak terhadap empat tuntutan bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Oktober, 2023.

SATU petisyen menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegakkan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik dilancarkan hari ini.

Petisyen yang difailkan oleh badan pemantau pilihan raya Bersih, menuntut jaminan daripada Anwar yang semangat reformasi masih hidup selepas 25 tahun dan berpegang kepada undang-undang.

Ia menuntut kerajaan:

1. Mengenakan moratorium ke atas permohonan pembebasan atau pelepasan daripada kes berprofil tinggi yang berterusan melibatkan ahli politik atau mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka, khususnya tetapi tidak terhad kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, sehingga peranan peguam negara dan pendakwa raya diasingkan.

2. Tetapkan 2024 sebagai tarikh akhir pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

3. Membuka semula kes ahli politik yang dilepaskan daripada tuduhan rasuah, khususnya tetapi tidak terhad kepada Ahmad Zahid Hamidi. Mahkamah mesti dibenarkan untuk menentukan kesalahan atau tidak bersalah tertuduh berdasarkan bukti dikemukakan.

4. Tidak menarik balik atau menjejaskan rayuan kerajaan terhadap pembebasan ahli politik, seperti Najib dalam kes pindaan laporan 1MDB.

“Kami menyeru orang ramai menandatangani petisyen dan menyebarkan berita supaya ahli politik yang didakwa dengan rasuah mesti menghadapi perbicaraan yang adil dan lengkap,” kata Pengerusi Bersih Thomas Fann.

Fann berkata salinan petisyen dan kenyataan hari ini akan dimajukan kepada Anwar dan beliau menjangkakan perdana menteri akan memberi maklum balas.

“Saya ingin melihat petisyen ini memecahkan semua rekod dan menghantar mesej yang kuat kepada kerajaan Madani. Ia juga penting untuk kita mengukur respons perdana menteri terhadap kenyataan kami.

“Sekiranya beliau berdiam diri, ini bermakna beliau tidak mengambil serius kenyataan kami dan kempen pasti akan datang tetapi jika beliau bertindak balas secara afirmatif, kami akan berhubung dengannya untuk memastikan pembaharuan berlaku.”

“Kami tidak akan berputus asa sehingga reformasi berlaku.” – 5 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen