PRK Pelangai: Loke nafi kaum Cina tidak akan keluar mengundi Sabtu ini


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata jentera parti sudah bekerja keras memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK DUN Pelangai Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2023.

SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke menafikan dakwaan kaum Cina terutama di sekitar Telemong dan Kampung Baru di Bentong tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Sabtu ini.

Beliau berkata jentera DAP sudah bekerja keras untuk memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sekali gus menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN).

Telemong merupakan kawasan di DUN Pelangai yang mempunyai majoriti penduduk bukan Melayu dengan menempatkan kira-kira 4,000 pengundi kaum Cina dan India.

“Pada Sabtu ini kita akan pastikan undi yang kita ada, kita akan alihkan kepada BN, melalui formula itu saya yakin akan membantu BN menang dengan majoriti selesa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Tang Lung Telemong di Bentong malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas penyandang DUN itu Johari Harun yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi.

Loke berkata untuk memastikan formula berkenaan berjaya beliau sejak awal lagi berpesan kepada DAP Pahang untuk berkempen bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada BN baik dari aspek moral, sumber dan tenaga manusia.

Katanya formula peralihan undi kaum Cina dan penyokong DAP kepada BN itu terbukti berjaya membantu kemenangan BN seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya DUN Tioman.

Pada PRU15 pengundian bagi DUN Tioman tidak dapat berlangsung pada hari pengundian 19 November 2022 berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli pada awal pagi sama menyebabkan ia ditetapkan semula pada 7 Disember tahun sama.

Dalam pada itu Loke mengakui cabaran terbesar ketika ini ialah untuk memastikan pengundi di DUN Pelangai yang tidak menetap di Bentong pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

PRK Pelangai Sabtu ini diadakan ekoran kematian Johari, 53, yang merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Amizar Abu Adam, Kasim (PN) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni. – Bernama, 5 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen