Perak akan bangunkan makmal NR-REE, kata Saarani


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata makmal NR-REE akan menjadi perintis makmal pertama dalam Malaysia yang mengendalikan uji kaji melibatkan unsur nadir bumi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2023.

KERAJAAN Negeri Perak mendapat persetujuan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ketika Mesyuarat Mineral Negara pada Isnin lepas untuk membangunkan sebuah makmal bagi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-55 Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Perak di Ipoh malam tadi.

“Makmal ini ditubuhkan bersama Menteri Besar Incorporated (MB Inc Perak), Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Jadi kita akan menjadi perintis dengan pembinaan makmal pertama dalam Malaysia yang mengendalikan uji kaji melibatkan unsur nadir bumi, jadi mana-mana pihak dari negeri lain yang melakukan cari gali dan hendak buat ujian mereka kena datang ke Perak untuk guna pakai makmal kita,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Presiden FMM Soh Thian Lai dan Pengerusi FMM Perak Chua Kay Lin dan barisan exco kerajaan negeri.

Saarani berkata semasa mesyuarat bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Perak meminta untuk meneroka pembukaan kilang-kilang menghasilkan bahan-bahan pertengahan dan hiliran NR-REE.

“Kementerian juga bersetuju untuk membenarkan Perak memperluas operasi kawasan perlombongan NR-REE seperti yang kita pohon sebelum ini.

“Malah kita mahu menyahut saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya semua mineral diproses di dalam negara sebelum dibawa keluar, jadi kita minta untuk kembangkan lagi prospek dalam produk hiliran,” katanya.

Katanya setakat Julai lepas operasi projek perintis perlombongan NR-REE di Mukim Kenering dekat Gerik berjaya menjana hasil royalti kepada kerajaan negeri hampir RM16 juta bagi 10 kali pengeksportan produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) ke China berbanding RM1.66 juta bayaran royalti pertama daripada pihak penggerak perlombongan itu setakat Februari lepas.

Projek perintis itu turut membuktikan nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui “in situ leaching” adalah kaedah terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar. – Bernama, 5 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen