SEORANG pelajar perempuan berusia 16 tahun dimasukkan ke hospital selepas insiden di dalam perkhidmatan awam metro Tehran pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Organisasi yang berpangkalan di Norway, Hengaw mendakwa “polis moral” negara itu melakukan “serangan fizikal yang melampau” terhadap Armita Garawand dalam gerabak metro.
Insiden itu didakwa berpunca daripada pelanggaran kod berpakaian yang ketat.
Garawand berada dalam keadaan koma di hospital tentera, menurut Hengaw dalam satu kenyataan.
Menurut media tempatan, gadis itu dibawa ke hospital pada Ahad selepas pengsan di dalam metro.
Media Iran melaporkan gadis itu hilang keseimbangan akibat tekanan darah menurun dan kepalanya terhantuk di dalam kereta api.
Rakannya kemudian membawanya keluar dari gerabak metro dan menghubungi perkhidmatan kecemasan, menurut laporan rasmi.
Media milik kerajaan mengeluarkan video suntingan pendek dari stesen metro yang memaparkan kejadian itu.
Rakaman itu menunjukkan sekumpulan wanita bertudung memasuki gerabak metro dan membawa seorang gadis yang tidak sedarkan diri keluar beberapa saat kemudian.
Akhbar harian Shargh melaporkan seorang wartawan ditahan ketika dalam perjalanannya ke hospital untuk mendapat maklumat mengenai keadaan kesihatan gadis itu.
Pengguna media sosial menulis mereka mengimbau kembali kes kematian wanita Iran-Kurdish Jina Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis hingga mencetuskan protes terburuk dalam tempoh beberapa dekad pada 2022 di negara itu. – Bernama, 5 Oktober, 2023.
Komen