Pesawah masih terima RM1,700 per tan, subsidi RM500 satu tan, kata menteri


PESAWAH masih mendapat RM1,700 satu tan bagi harga jualan padi mereka memandangkan kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. 

Beliau berkata pemberian insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 per tan kepada pesawah tetap diteruskan dan kerajaan hanya meletakkan harga lantai belian padi oleh pengilang iaitu pada kadar RM1,200 per tan sejak 2014.

“Ini bermakna pihak kerajaan hanya meletakkan harga minimum belian padi manakala pihak pengilang bebas untuk meletakkan harga belian mereka sendiri tetapi mestilah tidak kurang daripada harga lantai yang ditetapkan.

“Namun begitu, kerajaan masih memberi insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 satu tan kepada pesawah dan menjadikan setiap pesawah akan mendapat RM1,700 satu tan walaupun pengilang meletakkan harga padi pada kadar harga lantai,” katanya. 

Terdahulu, ada media tempatan melaporkan keluhan golongan pesawah yang kecewa atas tindakan pengilang yang menurunkan harga belian padi daripada RM1,700 per tan kepada harga lantai RM1,200 mulai hari ini. – Bernama, 4 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen