PAS tidak cadang letak Dr Mahathir tanding Kemaman, kata Samsuri


Diyana Ibrahim

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pimpinan tertinggi parti dan Perikatan Nasional belum lagi berbincang mengenai pilihan raya kecil itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

PAS tidak bercadang mencalonkan Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya kecil Kemaman, kata naib presiden Ahmad Samsuri Mokhtar, mengulas laporan sebuah media hari ini.

Awal hari ini, Free Malaysia Today memetik sumber yang dikatakan dekat dengan Dr Mahathir berkata bekas perdana menteri itu akan bertanding pilihan raya kecil Kemaman, yang tarikhnya akan ditetapkan nanti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menteri Besar Terengganu itu sekali lagi menegaskan pimpinan tertinggi PAS dan Perikatan Nasional belum lagi berbincang mengenai pilihan raya kecil itu.

“Itu hanya ura- ura sahaja. Saya baca pun dalam media sahaja. Sampai ke hari ini kami belum dapat duduk bersama dengan kalangan pimpinan tertinggi untuk bincang persiapan menghadapi PRK Kemaman.

“Ini termasuk negeri mana yang dipilih membantu PAS dalam PRK Kemaman. Tarikh perbincangan pun kita belum ada,” katanya kepada media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.

Laporan Free Malaysia Today menyebut pencalonan Dr Mahathir akan memberi beliau peluang untuk berkhidmat sebagai “semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan perpaduan”.

Dr Mahathir, 98, antara pengkritik utama pentadbiran Anwar Ibrahim sejak kerajaan itu mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

“Rundingan telah dimulakan dengan pemimpin PAS mengenai pencalonannya,” kata sumber itu.

“Mahathir mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi Melayu dan pemimpin akar umbi. Jika menang, dia akan menjadi ahli parlimen tertua yang akan dipilih.

“Paling penting mereka mahu meletakkan Dr M di Parlimen bagi mewakili kepentingan empat kerajaan negeri. Tidak ada gunanya bercakap di luar dewan,’ kata sumber itu seperti dipetik dalam laporan itu.

Dr Mahathir baru-baru ini dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS – Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Selepas PRU15, bekas perdana menteri itu mula berdamai dengan PAS yang pernah menjadi seterunya berdekad lama.

Sementara itu, Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang tidak menolak kemungkinan PAS  meletakkan calon luar dalam PRK Kemanan.

“Selagi tak ada penamaan calon, ia akan jadi terbuka,” katanya.

Ditanya jangkaan tarikh mesyuarat bagi PRK Kemaman,beliau beri bayangan ia mungkin akan bermula pada minggu depan.

“Tak ada panggil mesyuarat lagi. Sebab  minggu ini saya di Terengganu. Mungkin lah minggu depan saya akan ke kuala Lumpur,” katanya.

Pilihan raya kecil Kemaman dijangka akan diadakan selepas mahkamah pilihan raya minggu lalu membatalkan kemenangan calon PAS pada PRU15 atas alasan wujud sogokan kepada pengundi.

Hakim Anselm Charles Fernandis bagaimanapun tidak menamakan pihak yang terlibat dengan rasuah semasa pilihan raya di Kemaman.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu tidak akan merayu keputusan mahkamah. – 4 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen