Rayuan Najib ditangguhkan selepas hakim tarik diri


Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman pendakwaan yang salah ke atasnya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi menarik diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

RAYUAN Najib Abdul Razak untuk mengembalikan semula saman pendakwaan yang salah ke atasnya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas ditangguhkan hari ini selepas Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar kes itu.

Azizah sepatutnya mempengerusikan panel tiga hakim untuk mendengar rayuan itu tetapi menarik diri selepas beliau mendedahkan suaminya yang merupakan bekas timbalan pendakwa raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman pernah bekerja di bawah Thomas yang merupakan peguam negara dari 2018 hingga 2020.

Nik Sulaiman bersara daripada bahagian rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) awal tahun ini.

“Saya ingin membuat pendedahan. Semasa responden (Thomas) menjadi AG, dalam tempoh itu suami saya Nik Suhaimi berada di Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Azizah kemudian bertanya kepada pasukan pembelaan Najib sama ada ada mahu mengemukakan sebarang bantahan.

Selain Azizah, turut bersidang ialah Hakim See Mee Chun dan Hakim Lim Chong Fong.

Selepas mahkamah berehat selama 10 minit, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan kepada panel beliau telah diarahkan anak guamnya, Najib untuk memohon Azizah menarik diri daripada mendengar rayuan bekas perdana menteri itu.

Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berkata tiada keperluan untuk Azizah menarik diri kerana tidak ada bahaya berat sebelah.

Gomes merujuk kepada situasi di mana Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib supaya beliau menarik diri daripada mendengar rayuannya untuk membatalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tengku Maimun pada Ogos tahun mengekalkan sabitan ke atas beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan minggu depan bagi pengurusan kes untuk menentukan ahli panel baharu. – 4 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen