PERSATUAN Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen minggu depan adalah belanjawan properniagaan yang akan meningkatkan ekonomi.
Presiden persatuan yang mewakili lebih 20,000 pengusaha kedai kopi di negara ini berkata beberapa faktor seperti peningkatan harga makanan dan ringgit yang lemah telah menyebabkan perniagaan terjejas teruk, dan menggesa kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu tersebut.
“Seperti yang diramalkan beberapa pemain industri, harga makanan diujur meningkat lagi pada suku ketiga 2023 ekoran kebergantungan Malaysia terhadap barangan import dan ringgit yang lemah berbanding dolar AS,” kata Wong Teu Hoon dalam satu kenyataan.
“Selain itu, peningkatan kos operasi perniagaan sudah pasti akan menyebabkan harga barang naik susulan kenaikan gaji minimum, bil utiliti dan lain-lain.
“Kami menggesa kerajaan supaya memperkenalkan insentif dan penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu-isu ini dalam Belanjawan 2024,” tambah beliau.
Wong berkata persatuan itu berharap belanjawan yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini akan dapat memacu ekonomi negara.
“Kami amat berharap Belanjawan 2024 akan mengutamakan rakyat dan meringankan beban kami di masa akan datang.” – 4 Oktober, 2023.
Komen